Ahad, 19 April 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan daripada GERAK@ASTAR

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!


Penentuan tahap kefahaman dan kesungguhan mahasiswa universiti tempatan bakal tiba bermula esok, bagi warga Universiti Malaya terutamanya. Mahasiswa UM akan menduduki peperiksaan akhir semester 2 bagi sesi 2008/2009 bermula 20 April hingga 10 Mei 2009 dan bagi Fakulti Pergigian, bermula 27 April hingga 4 Mei 2009.


GERAK@ASTAR ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam menduduki peperiksaan kali ini dan mendoakan agar penghuni ASTAR akan memperoleh kejayaan yang cemerlang.


Sebagai mahasiswa, sudah menjadi tanggungjawab utama untuk menimba sebanyak mungkin ilmu bukan sahaja di kuliah malah melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti projek-projek kolej mahupun projek anjuran fakulti masing-masing.


Usaha sebegini bukan sahaja dapat memperkasakan keyakinan diri mahasiswa, malah dapat memberi pendedahan baru kepada mahasiswa terutamanya dalam bidang berorganisasi dan bersosial.


Sungguhpun begitu, mahasiswa yang aktif berpersatuan diingatkan untuk tidak mengabaikan pelajaran kerana pelajaran merupakan antara aset utama dalam menentukan hala tuju mahasiswa di masa depan kelak.


GERAK@ASTAR juga ingin berkongsi beberapa tips bagi persediaan sebelum dan semasa menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.


KESIHATAN

Aspek yang penting kerana kesihatan tubuh badan mempengaruhi kemampuan untuk menjawab peperiksaan dengan baik.


Tidur yang mencukupi - Fitrah manusia dicipta memerlukan rehat yang sempurna. Tidur yang lena dan sekurang-kurangnya 8 jam sehari merupakan yang terbaik bagi seorang manusia. Tenaga yang segar akan menjamin hari yang cemerlang.


Pemakanan - Makanan yang seimbang perlu diambil dan mungkin juga makanan tambahan seperti vitamin mampu memberikan impak yang positif kepada penerimaan ilmu dan usaha untuk mengeluarkan input semasa peperiksaan kelak. Elak makan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum sesi belajar supaya tumpuan penuh dapat diberikan. Makanan yang halal juga memberi kesan yang sangat mendalam kepada tubuh badan. Makanan yang haram akan menggelapkan hati dan menyempitkan fikiran.


Riadah - Nasihat pakar mengatakan seorang manusia sebaik-baiknya beriadah selama 20 minit tiga kali seminggu. Ketahuilah bahawa pergerakan dalam solat juga merupakan senaman yang mampu memberi ketenangan dan kecergasan anggota badan.


Keselamatan - Jauhkan diri anda daripada aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada di rumah/kolej dan jaga keselamatan di tempat terbuka seperti ketika mahu melintas jalan.


PERSEDIAAN MENTAL


Persediaan dari sudut ini sangat penting. Rasa takut dan gementar menurut Dato' Dr. Fadzilah Kamsah adalah perlu dan baik untuk persediaan. Namun, mahasiswa perlu bijak mengawal mental dan kuat melawan rasa takut yang melebih-lebih.

Mental perlu dididik untuk tidak terlalu memikirkan kegagalan sebaliknya perlu difokuskan untuk usaha pada masa sekarang.

PERSEDIAAN EMOSI


Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelakkan diri dari pada sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang seperti berikut perlu dielakkan; pertengkaran dengan rakan-rakan; melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah; cinta monyet yang mungkin kecundang di saat-saat peperiksaan; bersikap terlalu yakin - "overconfident" yang kemudiannya membawa kepada sikap riak; berprasangka buruk terhadap orang lain dan lain-lain.


Elakkan emosi yang bukan-bukan. Kurangkan menonton rancangan atau cerita yang boleh memberikan emosi yang tidak baik. Banyakkan membaca bahan yang lebih sarat dengan ilmu.


Sajikan telinga dengan muzik yang tenang dan seboleh-bolehnya tidak mempunyai lirik yang buruk. Menurut Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, sebaik-baiknya dengarlah muzik yang tidak mempunyai lirik (instrumental) atau lebih baik lagi bacaan Al-Quran dan zikir.


PERSEDIAAN ROHANI


Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:


1. Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat serta solat sunat dan mohon agar Allah mengurniakan ketenangan, menerangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Mohon kepada Allah agar apa yang dipelajari diberkati dan dapat menjawab dengan baik semasa peperiksaan.


2. Minta restu kedua ibu bapa. Mohon kepada ibu bapa untuk berdoa untuk kejayaan anda.


3. Banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan yang hakiki. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca ayat-ayat suci, maka penerimaan ilmu pasti lebih mudah. Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad - ayat 36, "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".


4. Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa kecil mahupun besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah dan gelisah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5. Banyakkan berdoa. Doa adalah senjata mukmin. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.


6. Jaga pandangan mata. Jangan memandang perkara yang sia-sia dan merosakkan seperti maksiat, tanda salib (bagi muslim), najis dan sebagainya kerana mampu menghilangkan ilmu anda. Pandanglah warna-warna yang menyegarkan dan menenangkan seperti pohon-pohon hijau, langit yang biru dan juga wajah ibu bapa anda.


7. Bersihkan hati. Sekiranya mempunyai hutang dengan orang, pastikan anda melangsaikannya. Mohon maaf kepada orang-orang di sekeliling supaya hati anda bersih dan lapang. Jangan mengumpat atau mendidik hati menjadi keruh seperti marah, benci dan kecewa.


Semoga tips GERAK@ASTAR memberi manfaat kepada seluruh warga ASTAR dan mahasiswa UM umumnya.


Selamat menempuhi peperiksaan dan semoga berjaya!


"Penggerak Mahasiswa - Agama, ilmu, perpaduan dan kebajikan."


GERAK@ASTAR

Ahad, 12 April 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan daripada SPKUM

Seni Menjulang ASTAR: ASTAR juara FESENI 2008/09

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Baru-baru ini, terukir sejarah bermakna bagi seluruh warga ASTAR apabila berjaya menjuarai Festival Seni Universiti Malaya (FESENI UM) bagi sesi 2008/09. ASTAR berjaya menjuarai 7 acara dan menduduki kedudukan tertinggi di antara kesemua 12 kolej kediaman. Di tempat ke-2 dan ke-3 ialah Kolej Kediaman ke-12 dan Kolej Kediaman ke-9.

GERAK@ASTAR mengucapkan tahniah buat seluruh pejuang seni ASTAR yang telah bertungkus-lumus menggalas impian menjulang nama ASTAR melalui acara-acara kesenian sejak bulan Disember yang lalu. Latihan bagi menghadapi FESENI kali ini telah dilakukan sejak tahun lalu dan nampaknya telah membuahkan hasil yang begitu bermakna sekali.

Semangat kekeluargaan warga ASTAR dilihat semakin bercambah dan kukuh melalui aktiviti sebegini, dan kemenangan ASTAR dilihat berjaya menyemarakkan lagi rasa sayang kepada Kolej Kediaman Pertama (ASTAR).

GERAK@ASTAR juga mengucapkan tahniah buat pentadbiran ASTAR kerana telah meraikan dan menghargai jasa penghuni kolej yang berkerja keras menaikkan nama ASTAR sepanjang FESENI yang lalu sempena Makan Malam Pelajar Tahun Akhir minggu lalu. Semoga Dr. Woo Chaw Seng selaku pengetua kolej lebih menghargai setiap usaha yang telah dipertaruhkan oleh warga ASTAR bukan sahaja melalui FESENI tetapi juga melalui aktiviti lain seperti SUKMUM dan sebagainya.

GERAK@ASTAR akan sentiasa menyokong segala aktiviti yang membangunkan minda dan sahsiah diri untuk warga ASTAR. Semoga kejuaraan ASTAR dalam FESENI menjadi titik tolak semangat ASTAR yang lebih gemilang dan bergerak seiring dengan aspirasi varsiti dan pertiwi.

GERAK@ASTAR

Jumaat, 3 April 2009

Malam ini: Malam Juara-Juara FESENI 2008/09

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Malam ini bakal menyaksikan pertarungan terakhir Festival Seni UM (FESENI UM) melalui acara nyanyian irama Melayu Asli. 3 orang peserta ASTAR akan turut berentap.

Setakat ini ASTAR telah mencatatkan 6 kedudukan Juara dan mendahului mata keseluruhan kolej-kolej kediaman. 5 daripada 6 pasukan seni ASTAR yang berjaya menjadi juara akan sekali lagi membuat persembahan pada malam ini dalam majlis penutup FESENI, Malam Juara-Juara.

GERAK@ASTAR mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta FESENI kali ini dan berharap kegemilangan ini berterusan pada masa-masa yang akan datang. GERAK@ASTAR juga mengucapkan tahniah kepada Pengerusi JKP Kreatif dan Kesenian dan Pengarah FESENI kerana berjaya menguruskan FESENI kali ini dengan baik.

Kepada seluruh warga ASTAR, GERAK@ASTAR menyeru untuk bergerak beramai-ramai ke DTC malam ini bagi menyokong dan sekaligus meraikan kegemilangan ASTAR.

SENI MENJULANG ASTAR!

GERAK@ASTAR