Sabtu, 28 Februari 2009

SUKMUM: ASTAR tempat ke-4

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Setelah lebih sebulan warga ASTAR dan UM khususnya, bertungkus-lumus melakukan latihan intensif untuk menyertai Sukan Mahasiswa UM atau SUKMUM bagi sesi 2008/2009, SUKMUM akhirnya melabuhkan tirai dan pada 25 Februari 2009 yang lalu, majlis penutup SUKMUM telah berlangsung di Pusat Sukan UM.

SUKMUM kali ini bagaimanapun mencatatkan sedikit kemerosotan buat warga ASTAR apabila berjaya mendapat tempat ke-empat keseluruhan berbanding tempat ke-tiga pada sesi yang lalu. Sungguhpun begitu, GERAK@ASTAR mengucapkan tahniah buat seluruh atlet ASTAR atas segala usaha yang telah diletakkan sepanjang SUKMUM, dan mendoakan reputasi ASTAR untuk SUKMUM akan datang akan lebih gemilang.

GERAK@ASTAR turut mengucapkan tahniah buat Pengerusi JKP Sukan dan Rekreasi, saudara Mohamad Amirul Aizat Lamry, yang dilihat memainkan peranan penuh selaku Pengerusi malah merupakan salah seorang atlet ASTAR. Secara keseluruhannya, saudara Amirul Aizat telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. 

Semoga atlet-atlet yang berjasa dan berpotensi besar dapat terus menabur bakti buat ASTAR dan diberi penghargaan sewajarnya oleh pihak kolej.

GERAK@ASTAR menantikan Festival Seni UM pula yang akan datang tidak lama lagi. ASTAR pasti terus gemilang!

GERAK@ASTAR

Presiden ASTAR: Penambahbaikkan berterusan di ASTAR

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

GERAK@ASTAR mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Presiden ASTAR, saudara Muhammad Hafizzuddin kerana peka terhadap isu kebajikan penghuni ASTAR. Melalui suara beliau, kebajikan penghuni ASTAR dilihat lebih diberi perhatian oleh pihak pentadbiran kolej.

Berikut merupakan beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh saudara Muhammad Hafizzuddin selepas perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan kolej baru-baru ini:
  • - Masalah bumbung bocor di laman DE
  • - Masalah bekalan elektrik (terutamanya di tingkat B200)
  • - Masalah wireless seluruh kolej
  • - Masalah makanan di dewan makan
Berikutan isu-isu ini, saudara Hafizzuddin telah menjelaskan penyelesaian atau usaha penambahbaikkan melalui blog beliau. Klik sini.

GERAK@ASTAR akan terus mengikuti perkembangan semasa penambahbaikan berterusan yang telah atau sedang dilakukan oleh pihak kolej dan akan memaklumkan semua penghuni ASTAR melalui laman ini. Memandangkan GERAK@ASTAR memfokuskan isu kebajikan penghuni ASTAR di samping isu-isu universiti dan negara, sebarang bentuk respon atau komen semua penghuni ASTAR adalah amat dihargai. Diharap GERAK@ASTAR dapat menjadi salah-satu medium terbaik bagi warga ASTAR mengutarakan sebarang masalah atau pandangan secara terbuka.

GERAK@ASTAR

Jumaat, 27 Februari 2009

Pesta Budaya 2008/09

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Pesta Budaya
"Journey to Heritage"


Tarikh: 28 Februari 2009 (Sabtu)
Masa: 10 pagi - 4 petang
Tempat: Kolej Kediaman Pertama
Aktiviti: Pameran & Pertandingan Permainan Tradisional

Tarikh: 1 Mac 2009 (Ahad)
Masa: 8.30 - 11.20 malam
Tempat: Dewan Tun Perak, Kolej Kediaman Pertama
Aktiviti: Malam Penutup - Persembahan Tarian Tradisional - Cabutan Bertuah

Semua warga ASTAR dijemput turun memeriahkan salah satu aktiviti ASTAR sesi 2008/09 pada hujung minggu ini dan mengalami sendiri pengalaman bermain permainan tradisional, menonton persembahan tarian tradisional serta memenangi cabutan betuah.

GERAK@ASTAR menyokong aktiviti-aktiviti sebegini yang dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara penghuni ASTAR dan tidak lupa pihak pentadbiran kolej.

Jamuan ringan disediakan selepas majlis penutup.

GERAK@ASTAR


Roadshow MPMUM 2008/09

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Membawa kata-kata "Bersama Menjulang Tradisi Kecemerlangan", MPMUM 2008/09 dilihat meletakkan satu harapan yang tinggi kepada mahasiswa UM untuk memberikan sokongan terhadap mereka melalui pelaksanaan Roadshow ini.

GERAK@ASTAR memuji usaha melaksanakan Roadshow ini dengan turut meletakkan harapan, iaitu semua barisan perwakilan memberikan komitmen penuh kepada Roadshow ini, dan selepas itu menunaikan segala janji-janji serta tanggungjawab mereka.

Berikut merupakan jadual Roadshow MPMUM 2008/09:

(Jam 8.30-9.30PM dan 9.40-10.40PM)
22 FEBRUARI:
KK1
KK2

23 FEBRUARI:
KK3
KK9

24 FEBRUARI:
KK4
KK7

25 FEBRUARI:
KK8
KK10

26 FEBRUARI:
KK11
KK12

27 FEBRUARI:
KK5
KK6

(9.00-10.30PM)
2 MAC:
(DP1, Kompleks Perdana Siswa)
Semua Persatuan Anak Negeri
Semua Persatuan Agama
Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti

3 MAC:
(DP1, Kompleks Perdana Siswa)
Mahasiswa Luar Kampus

AGENDA:
Alu-aluan Pengerusi Majlis
Perkenalan Barisan MPMUM
Ucapan YDP MPMUM
Tayangan Multimedia (Barisan MPMUM)
Soal-jawab/Aduan
Bersurai

GERAK@ASTAR berharap Roadshow ini memberikan kebaikan kepada seluruh mahasiswa UM dan menjadi medium bagi MPMUM mengenali serta memahami masalah-masalah mahasiswa di dalam dan di luar kampus. GERAK@ASTAR menentang keras sebarang sentimen politik yang cuba disuntik ke dalam Roadshow, terutamanya melalui YDP saudara Mohd Ridzuan, sekiranya ada.

GERAK@ASTAR sentiasa memantau pergerakan MPMUM dan akan menyuarakan sebarang bentuk respon mewakili suara PENGGERAK MAHASISWA secara umumnya dan suara warga ASTAR secara lebih khusus.

Pendirian GERAK@ASTAR masih kukuh untuk menghormati dan menyokong barisan perwakilan mahasiswa UM, dengan syarat, seluruh barisan kepimpinan tersebut melaksanakan tugas mereka sebagai anggota perwakilan di bawah satu nama iaitu MPMUM.

Semoga usaha mereka beroleh hasil yang diharap-harapkan demi kebajikan semua mahasiwa UM, dan GERAK@ASTAR tidak akan berhenti memerhati.

GERAK@ASTAR


Khamis, 19 Februari 2009

Kewibawaan YDP MPMUM dipersoal

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) bagi sesi 2008/2009 telah pun dilantik sejak 5 Februari yang lalu. Seperti mana yang telah ditulis sebelum ini, GERAK@ASTAR menyatakan pendirian bahawa kami menghormati barisan kepimpinan mahasiswa UM tersebut dan mengharapkan YDP MPMUM, saudara Mohd Ridzuan melaksanakan tanggungjawabnya memacu kepimpinan mahasiswa secara adil, profesional dan mengenepikan segala kepentingan politik pihak-pihak tertentu termasuk Pro-Mahasiswa. MPMUM harus bersatu hati dan suara, demi kepentingan mahasiswa di seluruh pelusuk Universiti Malaya.

Walaubagaimanapun, selama beberapa minggu yang lalu, GERAK@ASTAR mendapati saudara Mohd Ridzuan gagal menjalankan tugasnya secara profesional apabila mengenepikan sesetengah anggota perwakilan. Menurut sumber yang dipercayai, saudara Mohd Ridzuan dan kesemua perwakilan yang bernaung di bawah nama Pro-Mahasiswa telah mengadakan beberapa siri pertemuan (mesyuarat) secara sulit bagi membincangkan perancangan aktiviti dan pelbagai isu di bawah nama MPMUM tetapi membelakangi segolongan ahli perwakilan.


Bertitik tolak daripada itu, GERAK@ASTAR mempersoalkan kewibawaan saudara Mohd Ridzuan selaku YDP MPMUM, dan turut mempersoalkan etika kerja Majlis Tertinggi serta Pengerusi-pengerusi Biro MPMUM. GERAK@ASTAR juga difahamkan, saudara Mohd Ridzuan kini bergerak bersama Setiausaha Politiknya, saudara Shafie yang bukan merupakan ahli perwakilan mahasiswa yang sah.

Ini dipetik melalui blog Mahasiswa kini, berikutan isu FESKUM:

Kita memang ada menerimanya (surat HEPA). Saya telah meminta Shafie (Setiausaha Politik) untuk meneliti perkara tersebut. Sama ada kita sedia bekerjasama atau sebaliknya, akan diputuskan kemudian,” jelas Sdr. Mohammad Ridzuan Mohammad”.

Menurut mahasiswakini "Sdr. Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi menjelaskan bahawa beliau sudah menyediakan senarai pendek nama adHoc untuk diperbahaskan dalam mesyuarat MPMUM akan datang; sebelum dikemukakan kepada Ketua Penolong Pendaftar Kanan HEPA K. Puniamurthy".

GERAK@ASTAR mempertikaikan penglibatan setiausaha politik saudara Mohd Ridzuan di dalam setiap rencana MPMUM. Malah, selaku tampuk pimpinan, mengapa saudara Shafie yang harus meneliti perkara tersebut? Keputusan sepatutnya dibuat oleh ahli kabinet secara perbincangan bersama.

Antara kepincangan pimpinan saudara Mohd Ridzuan:
  1. Jika benar MPMUM di bawah pimpinan saudara Mohd Ridzuan berpaksikan kebajikan mahasiswa dan bukan atas kepentingan politik Pro-Mahasiswa dan pihak-pihak tertentu, di manakah relevannya penglibatan saudara Shafie?

  2. Mengapa senarai nama AdHoc dipegang oleh setiausaha politik YDP? Bukan dipegang oleh setiausaha MPMUM atau ahli-ahli perwakilan MPMUM? FESKUM adalah agenda universiti di bawah MPMUM secara umumnya atau nyata agenda politik Pro-Mahasiswa semata-mata?

  3. Mengapa Pengerusi Biro Kolej Kediaman dan Luar Kampus, saudara Mohd Fadzil Jamal membuat kenyataan bahawa jawatankuasa bironya sedang membuat beberapa penyelidikan undang-undang berikutan isu mengembalikan pilihanraya bagi pemilihan kepimpinan pelajar di peringkat kolej kediaman? Bermakna, Biro ini berpendirian bahawa pilihanraya di kolej kediaman harus dikembalikan. GERAK@ASTAR mendapati dua orang ahli jawatankuasa Biro Kolej Kediaman dan Luar Kampus, saudara Helmy Faliq dan saudara Tee Woo Keat tidak pernah menyatakan pendirian mereka untuk menyokong kenyataan saudara Mohd Fadzil. Di mana suara ahli-ahli perwakilan, jika hanya pengerusi yang membuat keputusan?

  4. Saudara Mohd Fadzil juga didapati menggunakan nama Pro-Mahasiswa apabila menyelesaikan isu air di Kolej Kediaman Ke-12, sedangkan yang membangkitkan isu ini ialah saudara Helmi Faliq. Mengapa nama Pro-Mahasiswa yang digunakan? Bukankah nama MPMUM yang sepatutnya disebut-sebut? Tidakkah ini dinamakan agenda politik Pro-Mahasiswa?

GERAK@ASTAR masih menghormati barisan MPMUM. Namun, jika ini pendirian sebahagian ahli MPMUM termasuk YDP dan menggunakan nama Pro-Mahasiswa atas segala isu kebajikan mahasiswa UM, GERAK@ASTAR tidak teragak-agak untuk menolak kepimpinan YDP MPMUM.

Lebih jelas kini, Pro-Mahasiswa mula menunjukkan agenda kotor mereka di sebalik motto "Hope and Change".

Justeru, saudara Mohd Ridzuan digesa untuk memperbetulkan perjuangan MPMUM bagi sesi ini. Mahasiswa UM tidak lagi buta untuk menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan kebajikan mereka.

GERAK@ASTAR


Rabu, 11 Februari 2009

Selamat Maju Jaya kepada saudari Nor Hidayah!

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!


GERAK@ASTAR merasakan tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah dan selamat berjuang kepada saudari Nor Hidayah binti Haji Nor Hasan yang telah berjaya memenangi salah satu kerusi Fakulti Kejuruteraan dalam sesi pemilihan perwakilan mahasiswa UM pada Januari yang lalu. Saudari Nor Hidayah merupakan penghuni Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) dan merupakan pelajar tahun ke-2 di Fakulti Kejuruteraan.

Warga ASTAR tentu sekali berbangga apabila saudari Hidayah yang merupakan Pengerusi, Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan (JKP KEMAS) sesi 2008/2009 berjaya menempatkan diri dalam barisan kepimpinan mahasiswa UM. Saudari Hidayah kini menganggotai Biro Hal Ehwal Wanita/Siswi di dalam MPMUM 2008/09.

Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi JKP KEMAS, saudari Hidayah juga merupakan atlit bola jaring ASTAR untuk SUKMUM, peserta kompang ASTAR untuk FESENI dan merupakan Pembantu Mahasiswa ASTAR bagi Minggu Haluansiswa bagi sesi 2008/09.

GERAK@ASTAR mendoakan yang terbaik buat saudari Hidayah dan mengharapkan beliau akan meletakkan usaha yang terbaik bagi memenuhi janji yang telah dicatatkan di dalam manifesto semasa sesi pemilihan tempoh hari.

Berikut merupakan manifesto saudari Hidayah:

Bidang Akademik:
  1. Mencadangkan agar pihak pentadbiran mempertingkatkan kualiti pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi melahirkan mahasiswa yang lebih intelek.
  2. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar memilih pensyarah dari luar negara yang berkualiti bagi menghasilkan mutu pembelajaran yang efektif di dalam kelas.
Kebajikan Mahasiswa:
  1. Memperjuangkan agar membaik pulih dan menyelenggara kemudahan yang sedia ada di dewan kuliah dan auditorium di Blok U.
  2. Memperjuangkan agar sistem audio di bilik kuliah, dewan kuliah dan auditorium dinaikkan taraf.
  3. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar pengagihan kelas bagi setiap subjek perlu bersesuaian dengan kuantiti mahasiswa.
  4. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar mewujudkan satu ruang bacaan tertutup yang selesa di foyer aras dua, menara kejuruteraan.
Lain-lain:
  1. Mencadangkan agar mewujudkan peti cadangan supaya mahasiswa berpeluang memberikan pendapat sekaligus dapat membela kebajikan mahasiswa.
Apa yang pasti, GERAK@ASTAR akan sentiasa memberi sokongan padu kepada kepimpinan saudari Hidayah dan memantau segala hasil kerja beliau, sekaligus menjadi check and balance kepada beliau. Memandangkan saudari Hidayah juga merupakan Pengerusi JKP KEMAS yang bertanggungjawab terhadap kebajikan penghuni ASTAR, GERAK@ASTAR akan turut menjadi saluran bagi penghuni ASTAR membangkitkan apa-apa isu kebajikan penghuni kolej.

Selamat maju jaya kepada saudari Hidayah!

Semoga beliau kuat menghadapi segala cabaran sebagai pemimpin mahasiswa UM dan penghuni Kolej Kediaman Pertama.

GERAK@ASTAR


Perhimpunan mahasiswa UM berjalan lancar

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!


Seluruh barisan Penggerak Mahasiswa termasuk GERAK@ASTAR mengucapkan terima kasih di atas kehadiran mahasiswa Universiti Malaya pada perhimpunan menyokong dan mempertahankan kedaulatan Tuanku Canselor UM semalam di Kompleks Perdana Siswa dan kemudiannya perarakan ke Dewan Tuanku Canselor untuk penyerahan memorandum yang mewakili semua kaum di UM.

Walaupun hujan mula turun ketika perhimpunan bermula, mahasiswa UM termasuk Sekretariat Presiden Kolej Kediaman UM (SPKUM) serta ketua kaum Cina, tidak berundur dan masih setia melaungkan pendirian. GERAK@ASTAR turut menghargai kehadiran saudara YDP MPMUM Mohd Ridzuan dan beberapa lagi anggota perwakilan mahasiswa termasuk saudari Nor Hidayah binti Haji Nor Hassan yang merupakan penghuni ASTAR. GERAK@ASTAR yakin sekiranya cuaca baik, lebih ramai mahasiswa UM akan turut serta.

Perhimpunan tersebut tidak dipengaruhi oleh mana-mana agenda politik dan GERAK@ASTAR mengutuk keras tindakan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan menyebarkan risalah berbaur politik dan cuba menyimpang daripada tujuan sebenar perhimpunan diadakan.

Perhimpunan berakhir dengan penyerahan memorandum berkenaan, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Universiti Malaya, serta laungan ikrar Rukan Negara.

GERAK@ASTAR


Selasa, 10 Februari 2009

Perhimpunan Aman Raksasa 1000 Mahasiswa

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Tarikh: 10 Februari 2009
Hari: Selasa
Masa: 5 petang
Tempat: Tempat letak kereta di hadapan KPS

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah

Kepada semua mahasiswa UM, berikutan isu kedaulatan Tuanku Sultan Perak diperlekehkan, marilah kita bersama-sama berkumpul untuk memberikan sokongan kepada Tuanku Canselor UM. Marilah memartabatkan rukun negara dan kedaulatan Tuanku Canselor kita. Untuk makluman, perhimpunan ini mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan Kakitangan UM.

Daulat Tuanku!

GERAK@ASTAR


Isnin, 9 Februari 2009

Tahniah MPMUM sesi 2008/09!

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

GERAK@ASTAR mengucapkan tahniah di atas pemilihan dan perlantikan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) bagi sesi 2008/09 pada 5 Februari 2009 yang lalu. Majlis penyerahan watikah perlantikan telah diadakan pada tarikh tersebut bertempat di Auditorium, Kompleks Perdana Siswa UM pada sebelah malam dengan dihadiri oleh Naib Canselor UM.

Seluruh barisan kepimpinan GERAK terutamanya GERAK@ASTAR menghormati barisan perwakilan yang baru dilantik dan mengharapkan mereka mendokong visi dan misi UM sebagai satu kekuatan tanpa sebarang prejudis dan perbezaan ideologi, demi kepentingan mahasiswa seluruh kampus.


MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA
SESI 2008/2009


YANG DIPERTUA (YDP)
Mohd Ridzuan bin Mohammad

NAIB YANG DIPERTUA (NYDP)
Chong Yah Huei

TIMBALAN NAIB YANG DIPERTUA 1
Mohamad Hafiz bin Ilyaz

TIMBALAN NAIB YANG DIPERTUA 2
Yap Zhen Jun

SETIAUSAHA
Shah Rizul Ayuni binti Zulkiply

TIMBALAN SETIAUSAHA 1
Nurul Fitrah binti Mohd Ariffin Marican

TIMBALAN SETIAUSAHA 2
Low Yu Jie

BENDAHARI
Benjamin Ong Jia Ming

TIMBALAN BENDAHARI 1
Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan

TIMBALAN BENDAHARI 2
Kokilavani A/P Sanmugam

BIRO

AKADEMIK & PENYELIDIKAN
Muhammad Khiratti bin Mat Zainal (PENGERUSI)
Yeoh Oon Take
Amos Aw Teik Onn

PENERBITAN & PENERANGAN
Noorzilah Jailani (PENGERUSI)
Bong Kim Kien
Yaw Chun Hou

KEPIMPINAN, KEROHANIAN & PEMBANGUNAN INSAN
Mohd Aizat bin Mohd Saleh (PENGERUSI)
Tan Lean Choon
Mohd Taufiq bin Sujangi

HAL EHWAL WANITA
Maryam Muneerah binti Ahmad (PENGERUSI)
Nurul Jannah binti Ismail
Nor Hidayah binti Haji Noor Hassan

EKONOMI, KEUSAHAWANAN & KERJAYA
Lee Keang Kiet (PENGERUSI)
Masaida binti Mohamed Sulaiman
Muhamad Afiq bin Zaini Alamar

PERPADUAN & KEMASYARAKATAN
Timothy Cheng Tsin Jien (PENGERUSI)
Burhanuddin Hilmi bin Mohamad Khalid
Evaely Sabet Saribu Raja

SUKAN, KESENIAN & KEBUDAYAAN
Nurul Falina binti Azizan (PENGERUSI)
Mohamed Nashrudin bin Naharudin
Ng Boon Kwang

PENGINAPAN KOLEJ KEDIAMAN & LUAR KAMPUS
Mohd Fadzil Jamal (PENGERUSI)
Helmy Faliq bin Zulqurnain
Tee Woo Keat

PERHUBUNGAN & PENGANTARABANGSAAN
Noor Azween binti Mohamed Iqbal (PENGERUSI)
Lim Bee San
Ng Rui Wei

KEBAJIKAN & ADUAN
Mohamad Zaki bin Abdul Halim (PENGERUSI)
Mohd Muklis bin Azmir
Nur Atiqah binti Mohamad Khir
Saiful Redzuan bin Yusoff


Kepada saudara Mohd Ridzuan selaku YDP, GERAK@ASTAR memegang setiap bicara anda dan menuntut setiap janji dikotakan. Seluruh mahasiswa universiti perdana ini mengharapkan saudara Mohd Ridzuan mampu membawa perubahan yang dikhabar-khabarkan, secara telus dan tulus, serta tidak membelakangi mana-mana pihak. Ketika nama-nama perwakilan beserta portfolio masing-masing diumumkan, tiada lagi istilah kemenangan di pihak siapa. Sebaliknya MPMUM 08/09 kini telah menjadi satu suara dan diharapkan mampu berkhidmat sehabis baik tanpa memijak satu sama lain.

GERAK@ASTAR