Rabu, 11 Februari 2009

Selamat Maju Jaya kepada saudari Nor Hidayah!

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!


GERAK@ASTAR merasakan tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah dan selamat berjuang kepada saudari Nor Hidayah binti Haji Nor Hasan yang telah berjaya memenangi salah satu kerusi Fakulti Kejuruteraan dalam sesi pemilihan perwakilan mahasiswa UM pada Januari yang lalu. Saudari Nor Hidayah merupakan penghuni Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) dan merupakan pelajar tahun ke-2 di Fakulti Kejuruteraan.

Warga ASTAR tentu sekali berbangga apabila saudari Hidayah yang merupakan Pengerusi, Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan (JKP KEMAS) sesi 2008/2009 berjaya menempatkan diri dalam barisan kepimpinan mahasiswa UM. Saudari Hidayah kini menganggotai Biro Hal Ehwal Wanita/Siswi di dalam MPMUM 2008/09.

Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi JKP KEMAS, saudari Hidayah juga merupakan atlit bola jaring ASTAR untuk SUKMUM, peserta kompang ASTAR untuk FESENI dan merupakan Pembantu Mahasiswa ASTAR bagi Minggu Haluansiswa bagi sesi 2008/09.

GERAK@ASTAR mendoakan yang terbaik buat saudari Hidayah dan mengharapkan beliau akan meletakkan usaha yang terbaik bagi memenuhi janji yang telah dicatatkan di dalam manifesto semasa sesi pemilihan tempoh hari.

Berikut merupakan manifesto saudari Hidayah:

Bidang Akademik:
  1. Mencadangkan agar pihak pentadbiran mempertingkatkan kualiti pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi melahirkan mahasiswa yang lebih intelek.
  2. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar memilih pensyarah dari luar negara yang berkualiti bagi menghasilkan mutu pembelajaran yang efektif di dalam kelas.
Kebajikan Mahasiswa:
  1. Memperjuangkan agar membaik pulih dan menyelenggara kemudahan yang sedia ada di dewan kuliah dan auditorium di Blok U.
  2. Memperjuangkan agar sistem audio di bilik kuliah, dewan kuliah dan auditorium dinaikkan taraf.
  3. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar pengagihan kelas bagi setiap subjek perlu bersesuaian dengan kuantiti mahasiswa.
  4. Mencadangkan kepada pihak pentadbiran agar mewujudkan satu ruang bacaan tertutup yang selesa di foyer aras dua, menara kejuruteraan.
Lain-lain:
  1. Mencadangkan agar mewujudkan peti cadangan supaya mahasiswa berpeluang memberikan pendapat sekaligus dapat membela kebajikan mahasiswa.
Apa yang pasti, GERAK@ASTAR akan sentiasa memberi sokongan padu kepada kepimpinan saudari Hidayah dan memantau segala hasil kerja beliau, sekaligus menjadi check and balance kepada beliau. Memandangkan saudari Hidayah juga merupakan Pengerusi JKP KEMAS yang bertanggungjawab terhadap kebajikan penghuni ASTAR, GERAK@ASTAR akan turut menjadi saluran bagi penghuni ASTAR membangkitkan apa-apa isu kebajikan penghuni kolej.

Selamat maju jaya kepada saudari Hidayah!

Semoga beliau kuat menghadapi segala cabaran sebagai pemimpin mahasiswa UM dan penghuni Kolej Kediaman Pertama.

GERAK@ASTAR


Tiada ulasan: