Khamis, 19 Februari 2009

Kewibawaan YDP MPMUM dipersoal

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera!

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) bagi sesi 2008/2009 telah pun dilantik sejak 5 Februari yang lalu. Seperti mana yang telah ditulis sebelum ini, GERAK@ASTAR menyatakan pendirian bahawa kami menghormati barisan kepimpinan mahasiswa UM tersebut dan mengharapkan YDP MPMUM, saudara Mohd Ridzuan melaksanakan tanggungjawabnya memacu kepimpinan mahasiswa secara adil, profesional dan mengenepikan segala kepentingan politik pihak-pihak tertentu termasuk Pro-Mahasiswa. MPMUM harus bersatu hati dan suara, demi kepentingan mahasiswa di seluruh pelusuk Universiti Malaya.

Walaubagaimanapun, selama beberapa minggu yang lalu, GERAK@ASTAR mendapati saudara Mohd Ridzuan gagal menjalankan tugasnya secara profesional apabila mengenepikan sesetengah anggota perwakilan. Menurut sumber yang dipercayai, saudara Mohd Ridzuan dan kesemua perwakilan yang bernaung di bawah nama Pro-Mahasiswa telah mengadakan beberapa siri pertemuan (mesyuarat) secara sulit bagi membincangkan perancangan aktiviti dan pelbagai isu di bawah nama MPMUM tetapi membelakangi segolongan ahli perwakilan.


Bertitik tolak daripada itu, GERAK@ASTAR mempersoalkan kewibawaan saudara Mohd Ridzuan selaku YDP MPMUM, dan turut mempersoalkan etika kerja Majlis Tertinggi serta Pengerusi-pengerusi Biro MPMUM. GERAK@ASTAR juga difahamkan, saudara Mohd Ridzuan kini bergerak bersama Setiausaha Politiknya, saudara Shafie yang bukan merupakan ahli perwakilan mahasiswa yang sah.

Ini dipetik melalui blog Mahasiswa kini, berikutan isu FESKUM:

Kita memang ada menerimanya (surat HEPA). Saya telah meminta Shafie (Setiausaha Politik) untuk meneliti perkara tersebut. Sama ada kita sedia bekerjasama atau sebaliknya, akan diputuskan kemudian,” jelas Sdr. Mohammad Ridzuan Mohammad”.

Menurut mahasiswakini "Sdr. Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi menjelaskan bahawa beliau sudah menyediakan senarai pendek nama adHoc untuk diperbahaskan dalam mesyuarat MPMUM akan datang; sebelum dikemukakan kepada Ketua Penolong Pendaftar Kanan HEPA K. Puniamurthy".

GERAK@ASTAR mempertikaikan penglibatan setiausaha politik saudara Mohd Ridzuan di dalam setiap rencana MPMUM. Malah, selaku tampuk pimpinan, mengapa saudara Shafie yang harus meneliti perkara tersebut? Keputusan sepatutnya dibuat oleh ahli kabinet secara perbincangan bersama.

Antara kepincangan pimpinan saudara Mohd Ridzuan:
  1. Jika benar MPMUM di bawah pimpinan saudara Mohd Ridzuan berpaksikan kebajikan mahasiswa dan bukan atas kepentingan politik Pro-Mahasiswa dan pihak-pihak tertentu, di manakah relevannya penglibatan saudara Shafie?

  2. Mengapa senarai nama AdHoc dipegang oleh setiausaha politik YDP? Bukan dipegang oleh setiausaha MPMUM atau ahli-ahli perwakilan MPMUM? FESKUM adalah agenda universiti di bawah MPMUM secara umumnya atau nyata agenda politik Pro-Mahasiswa semata-mata?

  3. Mengapa Pengerusi Biro Kolej Kediaman dan Luar Kampus, saudara Mohd Fadzil Jamal membuat kenyataan bahawa jawatankuasa bironya sedang membuat beberapa penyelidikan undang-undang berikutan isu mengembalikan pilihanraya bagi pemilihan kepimpinan pelajar di peringkat kolej kediaman? Bermakna, Biro ini berpendirian bahawa pilihanraya di kolej kediaman harus dikembalikan. GERAK@ASTAR mendapati dua orang ahli jawatankuasa Biro Kolej Kediaman dan Luar Kampus, saudara Helmy Faliq dan saudara Tee Woo Keat tidak pernah menyatakan pendirian mereka untuk menyokong kenyataan saudara Mohd Fadzil. Di mana suara ahli-ahli perwakilan, jika hanya pengerusi yang membuat keputusan?

  4. Saudara Mohd Fadzil juga didapati menggunakan nama Pro-Mahasiswa apabila menyelesaikan isu air di Kolej Kediaman Ke-12, sedangkan yang membangkitkan isu ini ialah saudara Helmi Faliq. Mengapa nama Pro-Mahasiswa yang digunakan? Bukankah nama MPMUM yang sepatutnya disebut-sebut? Tidakkah ini dinamakan agenda politik Pro-Mahasiswa?

GERAK@ASTAR masih menghormati barisan MPMUM. Namun, jika ini pendirian sebahagian ahli MPMUM termasuk YDP dan menggunakan nama Pro-Mahasiswa atas segala isu kebajikan mahasiswa UM, GERAK@ASTAR tidak teragak-agak untuk menolak kepimpinan YDP MPMUM.

Lebih jelas kini, Pro-Mahasiswa mula menunjukkan agenda kotor mereka di sebalik motto "Hope and Change".

Justeru, saudara Mohd Ridzuan digesa untuk memperbetulkan perjuangan MPMUM bagi sesi ini. Mahasiswa UM tidak lagi buta untuk menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan kebajikan mereka.

GERAK@ASTAR


Tiada ulasan: